UMNO Rantau Panjang ikrar pertahan Najib ke titisan darah terakhir
UMNO Bahagian Rantau Panjang berikrar akan menjadi benteng utama mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada serangan pelbagai pihak yang berniat hendak menjatuhkan kerajaan pimpinannya.
Ketuanya, Datuk Abdullah Mat Yasim berkata, beliau bersama hulubalang dari Rantau Panjang sanggup berjuang sehingga ke titisan darah terakhir demi memastikan Najib dan kepimpinannya kekal mentadbir kerajaan.
Kata beliau, rakyat jajahan itu sekali-kali tidak rela Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO diperkotak-katikkan oleh musuh dalam parti dan juga pembangkang serta memberi amaran mereka akan berdepan dengan hulubalang Rantau Panjang sebelum menjatuhkan Najib.
"Setiap kali Perdana Menteri diserang kerana isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan wang derma (RM2.6 bilion), kita di Rantau Panjang tidak dapat duduk diam. Kita mahu segera ke Kuala Lumpur 'menyerang' balas musuh-musuh ini.
"Tetapi Presiden UMNO kita ni jenis baik hati sangat. Dia (Najib) pesan kepada saya supaya bertenang dan minta jangan datang (ke Kuala Lumpur).
"Untuk makluman kepada musuh parti dan musuh Perdana Menteri, saya dan rakyat Rantau Panjang adalah hulubalang yang sanggup mati untuk Najib," katanya.
Menurut Abdullah, beliau berterima kasih kepada Najib kerana sudi datang ke Rantau Panjang untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian itu Sabtu lalu, walaupun kali terakhir seorang Perdana Menteri datang ke jajahan berkenaan tahun 1987.
Itu pun, katanya, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya sampai di Kampung Lubok Jong di Pasir Mas sahaja untuk merasmikan program Semarak.
Lubok Jong berada dalam kawasan mengundi Parlimen Rantau Panjang, walaupun jajahan takluknya adalah Pasir Mas.
"Kedatangan Najib datang ke sini Sabtu lalu mengakhiri kerinduan rakyat Rantau Panjang terhadap pemimpin tertinggi kerajaan dan parti. Kita amat sanjung tinggi dan rakyat menanti-nantikan kedatangannya," katanya. - MalaysiaGazette
from PenPanas
0 comments:
Post a Comment