Sedih ratapi suami dan anak perempuan maut letupan bom
Jasad Lee Tze Siang, 35, dan anak perempuannya Lee Jing Xuan, 4, yang maut dalam letupan bom di Bangkok, Thailand Isnin lepas, dibakar di Pusat Krematorium Berapit, di sini, hari ini.
Upacara membakar jasad dua beranak itu bermula pada pukul 12.25 tengah hari dan abu mayat itu disimpan di Pusat Krematorium Berapit.
Upacara sembahyang sebelum jasad dibakar yang dijalankan di pusat itu turut disertai adik mendiang Tze Siang, Lee Tze Tung, 31, dan anak lelaki mendiang Lee Jian Hien, 6.
Jian Hien yang kehilangan ayah dan adiknya dalam tragedi letupan di persimpangan Ratchaprasong itu kelihatan tenang sepanjang upacara, manakala ibu kanak-kanak itu, Neoh Yee Ling, 33, yang hamil enam bulan dan turut cedera dalam kejadian itu hanya menghadiri upacara sembahyang di rumah mereka di Taman Cengal, Butterworth.
Turut terkorban dalam letupan bom di persimpangan itu yang berdekatan Kuil Erawan dan pusat membeli-belah di Bangkok pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia) Isnin lepas ialah ibu Yee Ling, Lee Siew Gaik, 49, adik lelakinya Neoh Jai Jun, 20, serta ibu saudaranya Lim Su See, 52.
Jasad Siew Gaik dan Jai Jun ditempatkan di rumah mereka di Taman Dedap, Butterworth manakala jasad Su See ditempatkan di rumah ibunya juga di taman yang sama.
Mereka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Sungai Lembu pada Ahad. - Bernama
from PenPanas
0 comments:
Post a Comment