Thursday, 23 July 2015

Tak nak lah tidur dirumah mak ayah, jijik !!

Tak sanggup tidur di rumah emak

Seorang wanita yang lebih tua dari saya yang berjemaah solat, berbual selepas solat ketika saya berada di motosikal untuk balik. Saya bertanya tentang sambutan raya dan hal anak tunggalnya. Air mukanya terus berubah. 

Katanya, "Dia sampai balik pagi raya dengan anak bini tapi tak cuti, jalan jem. Tak apalah, asal dia balik,"

"Petang raya, dia kata nak pergi rumah mentua dan tidur di sana, di Kampung Tongplu, Pedu. Saya tak kata apa-apa. Tetapi semasa depan nak naik kereta, cucu saya bertanya pada mak dia, 

"Kita tidur di hotel semalam kah?"

"Mak dan bapa dia hanya mendiamkan diri tetapi saya sempat melihat menantu saya membeliakkan mata pada anaknya," katanya.

Sampai di sini, dia berhenti bercakap. Dia tunduk dan mula mengesat air mata dengan hujung telekong yang masih dipakai. Saya faham anak dia sebenarnya bermalam di hotel dan pagi itu baru balik ke rumah orang tuanya. Kes pecah tembelang.

"Hinakah kami mak bapa dia? Bapa yang membesarkan dia, yang mendodokan dia dalam kain sentung, menepuknya sehingga lena di dalam kelambu kerana takut digigit nyamuk. Hinanya emak dia yang dia gonggong susunya sehingga bertahun, disuap nasi sehingga membesar. Hinakah kami yang beri dia sekolah dengan titik peluh kami?

"Saya tahu, depa jijik tengok dapur saya, jijik dengan bilik ayaq dan jambannya, jijik dengan bilik tidur yang panas bertilam kekabu.

"Tetapi tidak sedarkah mereka yang mereka membesar dengan keadaan itu? Tetapi hari ini mereka pandang jijik. Itulah sebab depa tak mahu tidur di rumah ibu bapa sendiri. Mereka sanggup tidur di hotel. Bukan tak ada tempat di rumah itu, kerana hanya dia saja anak tunggal. Termagaknya dia," katanya dalam nada yang sedih.

Wahai anak, bukanlah perkataan dari lidahmu sahaja yang boleh melukakan hati ayah dan bondamu, bukanlah tingkah lakumu sahaja yang boleh mengguris hati emak dan ayahmu. Tetapi tindakanmu juga boleh merobek hati kecil mereka. 

Jika biasa dengan kemewahan di rumah sendiri, jangan mengharapkan perkara yang sama di rumah ayah dan bonda. Kita dibesarkan dengan kepayahan ayah bonda, sesekali laluilah kembali. Jika kita rasa tidak selesa di rumah ibu bapa, kenapa kita biarkana mereka hidup tidak selesa? Kenapa tidak diubahsuai rumah mereka seperti rumah kita? 

Ingat, kekayaan yang kita miliki sebenarnya berpunca dari pengorbanan ibu bapa yang menyekolahkan kita. Maka sepatutnya mereka hidup lebih selesa dari diri kita kerana mereka yang melabur harta dan tenaga untuk mencipta kejayaan kita. 

Tetapi, hasilnya kita kau semuanya, meninggalkan ibu bapa dengan hidup di rumah tuanya. Apa jua perkara yang kita rasa jijik pada kehidupan ibu ayah kita, sepatutnyadibebankan kepada diri kita. Bukannya melarikan diri dari keadaan itu.

Dalam kes ini, tidur di hotel kerana tidak sanggup tidur di rumah ayah yang penuh geli geleman pada kita.

Jika anak-anak tidak dididik untuk merasa kepayahan orang lain, suatu hari nanti mereka tidak akan mampu hidup apabila ditimpa kepayahan. Jika anak dididik merasa jijik dengan apa yang orang lain lalui, apa lagi keturunannya suatu hari nanti mereka juga akan memandang jijik kepada seluruh mereka yang miskin.

Betapa ibubapa mengharapkan anak yang pulang sesekali menghidupkan kembali suasana rumah yang sunyi setelah anak berkeluarga. Tidurlah semalam dua, makan bersama, berkongsi bilik air dan bilik tidur sebagainya. Jika rasa payah, biarlah demi menjaga hati ibu bapa. Janganlah merungut dengan apa yang tidak sempurna di rumah mereka. 

Mungkin ibu bapa teringin nak menaiki kereta baru kita, bawalah mengunjung saudara mara. Mungkin mereka sedikit teringin berbangga dengan kejayaan anak, bawalah bertandang dan bershopping.

Sesungguhnya Allah memberikan ganjaran yang baik kerana berkunjung mengeratkan silaturrahim, mengembirakan ibu bapa. Jangan jadikan kunjungan beraya ke kampung menjadi gurisan tajam pada hati ibu bapa yang akan memahat pada dosa yang besar.

Tidak salah tidur di hotel atau homestay jika keadaan rumah yang tidak muat kerana ramai. Mohon izin dengan baik dari ibu bapa, sudah tentu mereka memahami. Menipu itu ibarat bangkai yang amat mudah tercium bau busuknya. Apa lagi bila Allah hendak membukanya. Bertindaklah dengan rasional. Ibu bapa itu satu keutamaan. Ingat, suatu hari nanti kita juga akan berada di situasi ibu bapa kita. - ABD GHANI HARON

Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM


from PenPanas

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Blog Archive

statistics

Contact

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Copyright © Pen Panas
Design by Nazmi | Published for PenPanas