Meninggal Dunia di Rumah Bujang Saat Semua Rakan Balik Beraya
“Kemungkinan mayat sudah 3-4 hari meninggal dunia”, itulah kata-kata dari seorang Sarjan Balai Polis Serdang, Selangor yang membuatkan aku sebak.
Tragedi ini mengejutkan aku dan semua rakan-rakan rumah bujang aku. Dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Lumpur aku mendapat panggilan telefon dari seorang rakan serumah bujang iaitu Herman yang bertanyakan mengenai Farid yang tidak dapat dihubungi sejak malam raya pertama sehingga semalam(19/7/2015).
Report polis telah dibuat oleh ahli keluarga Farid. Sesampai aku di hentian Gambang aku menerima sms dari Herman yang mengatakan rakan sekerjanya telah pergi ke rumah sewa dan memanggil tetapi tiada sesiapa yang menjawab.
Paling mengejutkan apabila ada bau busuk dari rumah sewa itu. Mujurlah bilik Farid berada paling hadapan rumah lalu rakan sekerja Herman membuka tingkap bilik dan melihat sebujur mayat di atas tilam.
Lalu rakan sekerja Herman membuat report polis dan polis memecah pintu rumah untuk melihat keadaan sahabatku, Farid yang telah beberapa hari meninggal dunia. Mayat telah dibawa ke unit forensik Hospital Serdang dan kini masih menunggu laporan bedah siasat. Insyaallah jenazah akan dikebumikan hari ini.
Untuk pengetahuan semua, Farid tidak dapat balik beraya kerana terpaksa bekerja pada hari raya. Semua rakan serumah telah balik beraya dan dia hanya tinggal seorang diri di rumah bujang.
Tidak disangka-sangka tragedi ini berlaku di rumah bujang aku. Masih teringat kali terakhir arwah Farid berjasa kepada aku membelikan panadol saat aku demam panas.
from PenPanas
0 comments:
Post a Comment