Pijak Gambar PM, Hadi Bukan Jenayah - Lawyers for Liberty
Lawyers for Liberty bimbang dengan cubaan menjenayahkan beberapa orang peserta BERSIH 4 yang dirakam sedang memijak foto perdana menteri dan presiden PAS.
Walaupun perbuatan itu mungkin dikatakan biadab, ia bukan sesuatu yang bersifat jenayah kerana undang-undang tidak mengambil kira perkara yang remeh temeh.
Tamadun masyarakat akan berakhir jika seseorang mendapati dirinya berdepan dengan penangkapan, penahanan atau perbicaraan jenayah hanya kerana perbuatan tidak sopan, biadab atau kasar seperti dalam kes ini.
Undang-undang Malaysia tidak mengangkat PM atau pemimpin parti politik ke status istimewa yang kebal dan dilindungi dari celaan.
Status mereka di sisi undang-undang adalah sama dengan rakyat biasa dan mereka sepatutnya dilayan sama rata seperti yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Tindakan memburu seperti itu penyalahgunaan Kanun Keseksaan yang serius. Walaupun ia kuno, peruntukannya tidak pernah bertujuan untuk melindungi PM atau tokoh masyarakat dari kritikan awam atau penghinaan.
Bantahan yang biadab sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Banyak lagi bantahan yang sama atau lebih teruk termasuk ancaman terhadap pihak pembangkang dan pimpinan masyarakat sivil, namun pelaku terbabit tidak pernah dikenakan tindakan.
Tentu timbul persoalan berkaitan pendakwaan terpilih dan bersifat dwistandard dalam pendekatan pihak berkuasa terhadap kes-kes penghinaan personaliti yang terlibat dan pakatan politik mereka.
PM sepatutnya mengakui bahawa beliau berhadapan dengan imej awam yang buruk, namun ini tidak mungkin dapat dibaiki dengan penyalahgunaan kuasa berterusan untuk perkara remeh seperti kelakuan memijak gambarnya.
Kelakuan ini bukan bersifat jenayah walaupun perkara itu sama sekali tidak menyenangkan.
Kami ingin mengingatkan PM bahawa autoriti dan penghormatan terhadap pentadbiran beliau tidak datang dari rasa takut tetapi keyakinan orang ramai dan ini bergantung sepenuhnya terhadap integriti dan pentadbiran baiknya seperti menangani rasuah dan penyelewengan kuasa.
Kami menyeru pihak polis untuk kembali kepada asas – untuk menjadi pasukan polis yang profesional, adil dan cekap dalam memelihara undang-undang dan ketenteraman, mencegah dan mengesan jenayah sebenar dan memberkas penjenayah sebenar.
Polis tidak harus terlibat dengan perkara yang remeh seperti fitnah, penghinaan dan kelakuan jengkel terhadap PM atau pemimpin parti politik.
ERIC PAULSEN
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty.
from PenPanas
0 comments:
Post a Comment