Monday, 21 September 2015

Kisah Seram Di Gerai Makan Misteri...Siapakah Yang Empunya Gerai Makan Itu?

 Apa perasaan anda apabila dalam tidak sedar anda apabila termakan di gerai yang tidak wujud atau yang sudah lama tidak berpenghuni?sungguh menyeramkan sekali bagi dua pemuda ini  yang mengalami detik-detik yang akan di kongsikan buat tatapan semua,mari kita ikuti kisahnya.



PETANG itu hujan lebat menyirami pekan Kuala Ketil, Kedah dan kawasan sekitarnya, tetapi bagi kaki pancing seperti Samad, Budin dan Sham, hujan bukan halangan untuk mereka melepaskan gian bersama hobi itu.
Samad terutamanya, cuti hari minggu memang dinantikan dan itulah peluang keemasan untuk bersama batang joran dan pelbagai peralatan memancingnya selepas sentiasa keluar pagi dan pulang lewat senja pada hari biasa kerana komitmen kerja.

Malah, berikutan desakan naluri yang mencengkam, Samad kerap menghabiskan hari minggu dengan memancing di tali air kecil di kampungnya. Biarpun usahanya sesekali berkesudahan tanpa hasil dan pulang dengan tangan kosong, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya.

Mahu tidak mahu, Budin dan Sham terpaksa melayan Samad melunaskan giannya. Mereka masak benar dengan keinginan rakan sejak kecil itu, biarpun kedua-duanya bukan kaki pancing sejati dan lebih kerap memancing kerana melayan rakan.

Suatu petang, nafsu Samad sekali lagi bergelora selepas Budin bercerita mengenai Lubuk Buntar, kononnya lubuk udang galah yang pernah ditaklukinya bersama-sama Wak Paiman satu ketika dulu.

Biarpun hanya mengikut kerana menjaga hati orang tua itu, kejayaan Budin membawa pulang tujuh udang galah sebesar bateri lampu picit membuatkan Samad tidak mampu duduk diam.



“Jom la, kau tengok ke arah sana, langit nampak cerah je. Alaahh, jangan risau, makan dan duit minyak aku tanggung,” kata-kata manis Samad yang akhirnya tidak mampu lagi ditolak dua rakan karibnya.

Tepat waktu dijanjikan, kereta dipandu Sham meredah hujan lebat menuju ke Lubuk Buntar. Setiba di pekan Serdang, tiada setitik pun hujan. Tanda-tanda hujan juga tidak kelihatan,Samad orang paling gembira kerana telahannya terbukti benar.

Hampir satu kilometer sebelum sampai ke pekan Lubuk Buntar, Budin menyuruh Sham membelokkan kereta masuk ke kawasan ladang kelapa sawit dan selepas dua kilometer, mereka tiba ke destinasi tujuan.

Ketika itu, jam 5.30 petang. Memang benar kata Budin, tidak sampai setengah jam dilabuhkan umpan, hujung joran Samad mula berdenyut-denyut menandakan umpannya dilamar sesuatu.

Sebagai kaki pancing, dari riak hujung batang jorannya, Samad dapat meneka umpannya dilamar udang galah, bukan ikan.

Samad segera mengangkat jorannya dengan penuh hati-hati. Berbekal kepakaran yang ada, muncullah udang galah terketis-ketis di permukaan air. Gembira Samad tidak terperi.

Selang tidak lama, giliran Budin pula menaikkan udang galah. Namun tidak sebesar miliki Samad, cuma sebesar ibu jari kaki.

Tiga jam berlalu, Samad dan Budin silih berganti menaikkan udang galah pelbagai saiz. Cuma Sham belum menaikkan udang galah, hanya dua ekor ikan teroboi sebesar tiga jari.

Dalam keasyikan menaikkan udang galah, antara sedar dan tidak, malam menyelimuti mereka bertiga. Samad dan Budin seakan-akan tidak kisah dengan kehadiran malam. Mereka tetap setia menghadap batang joran.
Sebaliknya, Sham mula jemu. Umpannya langsung tidak menarik minat udang galah. Mungkin dia kurang pengalaman. Dia kemudian masuk ke kereta dan baring di atas kusyen sambil mendengar radio. Akhirnya dia terlelap.

Apabila terjaga, jam di papan pemuka keretanya menunjukkan jam 12.30 pagi. Cepat-cepat Sham keluar dari kereta. Dalam kesamaran malam, ternampak bayang-bayang Samad dan Budin yang masih terpacak di tepi tebing sungai, seakan-akan tidak mengambil tahu langsung mengenai perjalanan masa.
“Ooi, dah le tu. Dah pukul 12.30 pagi ni...” laung Sham.
“Alahh, awal lagi la,” kedengaran Samad membalas.

“Korang tak nampak ke langit hitam semacam je. Kalau hujan, susah nanti,” kata Sham. Dia bukan memberi alasan, tetapi keadaan memang betul begitu,Akhirnya, Samad dan Budin mengalah.

“Berapa ekor dapat?” soal Sham selepas menggerakkan keretanya membelah kegelapan malam keluar dari ladang kelapa sawit itu.

“Fuh... hari ini dalam sejarah. Aku dapat 15 ekor,” beritahu Samad.

“Aku 10 ekor,” celah Budin yang duduk di belakang.
Ketika sampai di jalan raya, hujan renyai-renyai membasahi cermin kereta dan jam menunjukkan hampir 1 pagi.

“Alamak! Aku ada masalah dengan perut aku ni...” tiba-tiba Sham bersuara.
“Emm... faham, kalau jumpa kedai makan nanti, berhenti je,” kata Samad.
“Haa... depan tu nampak macam ada kedai makan,” pintas Budin pula.

Sham memberhentikan keretanya dan ketika mereka keluar, hujan tetap renyai-renyai.
Mereka menarik kerusi dan merebahkan punggung. Keadaan kedai makan itu sunyi sepi, tiada pelanggan lain, kecuali mereka saja. Lampu dalam kedai makan itu juga kelihatan malap dan suram, semua peralatannya juga nampak usang.

“Nak minum apa?” seorang gadis menghampiri meja mereka dan yang peliknya, perut Sham tidak lagi beronar.
“Buatkan kami teh tarik gelas besar,” pesan Samad.

“Nak makan?” tanya gadis itu lagi. Langsung tiada senyuman dilemparkannya.
“Mestilah, perut tengah berkeroncong ni, errr... makanan apa yang ada?” tanya Samad dengan galak tetapi bersopan kerana dialah tauke pada malam itu.

Renungan
“Semua ada, mi goreng, mi kuah, nasi goreng dan macam-macam lagi,” balas gadis itu, sekali lagi tanpa senyuman, kecuali renungan yang tajam dan jauh.

“Saya mi goreng,” kata Samad. “Nasi goreng,” pinta Budin dan Sham menyambung: “Dua.” Mereka merenung ke arah gadis yang kelihatan pucat itu. Barang kali letih selepas seharian melayan pelanggan, fikir mereka.
Gadis itu berlalu meninggalkan meja mereka. Ketika gadis itu melangkah, baru harum dapat dihidu hidung mereka. Sungguh harum dan bau itu semakin kuat.

Gadis itu hilang di sebalik dinding yang menjadi pemisah dengan tempat menyediakan makanan. Hanya tinggal mereka bertiga di luar. Suasana sunyi dan hening semakin terasa dalam hujan renyai-renyai yang masih turun. Tiada satu pun kenderaan di jalan raya,Belum sampai lima minit, gadis itu muncul semula dengan membawa dulang berisi makanan dan minuman yang mereka pesan.

Ketiga-tiganya mengerutkan dahi memikirkan semuanya tersedia dengan begitu cepat. Melihat tiada pelanggan lain, dek kerana perut yang berkeroncong, persoalan itu lenyap begitu saja. Mereka terus menjamah makanan.

Sambil makan, Budin sempat menjeling ke arah gadis itu yang duduk berhampiran meja yang menempatkan laci wang. Dilihatnya gadis itu merenung tajam ke arah mereka dengan pandang menakutkan. Terasa lain macam juga dia dibuatnya.

Selesai makan, Samad memanggil gadis itu untuk membayar harga makanan. Selepas itu, sekali lagi mereka meredah hujan renyai untuk masuk ke kereta“Murah sungguh makan kat kedai tu. Semuanya baru lima ringgit,” beritahu Samad, seakan-akan tidak percaya.

“Ye ke? Nasi goreng tadi boleh tahan sedapnya. Belum pernah aku jumpa nasi goreng sesedap itu. Lain kali boleh datang lagi,” jawab Budin.

Dua hari selepas itu, Budin datang lagi ke tempat itu. Kali ini bersendirian kerana kerjanya sebagai pemandu lori barang membuatkan dia terpaksa merayau ke seluruh pelusuk daerah bersama kelindannya, Aziz.
“Hari ni aku nak belanja kau makan di satu kedai, makanan dia sedap sungguh, murah pulak,” kata Budin bersemangat. Namun, setiba di tempat yang dirasakannya lokasi kedai makan itu, dia tercengang.
Dia memberhentikan lorinya di tepi jalan, turun dan kemudian menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Hairan aku, aku rasa sinilah kedai makan tu. Memang betul, aku masih lagi cam simpang ni,” katanya.
Sedang kepalanya diserbu tanda-tanya, sebuah motosikal yang keluar dari simpang itu menuju ke arah mereka dan berhenti di depan Budin.

“Kenapa, sesat jalan ke?” soal lelaki tua berketayap putih yang menunggang motosikal itu.
“Tak, sebenarnya saya rasa hairan. Baru dua hari lalu saya dengan kawan-kawan makan di satu kedai dan saya rasa ia di sini, tetapi sekarang sudah tak de,” beritahu Budin.
“Astaghfirullahhal-azim, kalau pak cik beritahu sesuatu, jangan terperanjat,” balas lelaki tua itu.

“Sebenarnya, dah ramai orang kena, lebih-lebih lagi orang yang lalu lewat malam. Sebenarnya, dulu memang ada kedai makan kat sini, tetapi kedai itu terbakar dan pemiliknya, anak gadis dan isterinya mati terbakar kerana tidak sempat menyelamatkan diri. Dah 20 tahun peristiwa ngeri itu berlaku,” kata lelaki itu.
“Habis tu, apa yang kami makan malam tu?” soal Budin terpinga-pinga.
“Susah pak cik nak cakap, awak faham-faham je la...” kata lelaki itu.

Serta-merta bulu roma Budin tegak, tekaknya juga tiba-tiba loya. Begitu juga yang dialami Samad dan Sham sebaik saja diberitahu mengenai peristiwa itu. Rupa-rupanya, mereka makan di kedai makan yang sudah lama menjadi sejarah.

Baru mereka sedar. Segala-galanya sungguh hening dan sunyi di kedai makan itu, ditambah pula dengan keharuman yang menusuk hidung mereka. Dan gadis itu...

Dari cerita yang pernah didengar, biasanya juadah yang dihidangkan hanya cacing dan benda kotor lain. Serta-merta mereka termuntah,dan tentu sekali anda dapat membayangkan bagaimana bila kejadian seumpama ini berlaku.

credit: ruangankitaini


from PenPanas

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Blog Archive

statistics

Contact

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Copyright © Pen Panas
Design by Nazmi | Published for PenPanas