Saturday, 8 August 2015

Video : Acara sukan tidak berfaedah, menyusahkan rakyat - Warga KL !

Selama ini demonstrasi haram yang diadakan pada hujung minggu sudah dianggap cukup menyusahkan kehidupan seharian warga kota. Kesesakan jalan raya berlaku di mana-mana. Susur ma­suk ke Kuala Lumpur sesak, susur keluar pun sesak. Keadaan jalan raya di dalam bandar lagi sesak. 

Semuanya kerana banyak jalan ditutup ‘secara terpaksa’.

Semalam bermula satu acara sukan tidak berfaedah yang menambahkan stres dan kemarahan penduduk kota. Perlumbaan kereta di tengah bandar. Acara itu berlangsung selama tiga hari, semalam, hari ini dan esok. Acara itu konon­nya sangat hebat sehingga digembar-gemburkan akan mencatat ‘sejarah nasional.’ Ya, memang sejarah akan tercatat sebagai perlumbaan kereta di tengah bandar yang paling menyusahkan hidup hampir dua juta warga Kuala Lumpur!
VIDEO KLIK SINI
Sejak seminggu lalu warga kota sudah memberi reaksi negatif terha­dap penganjuran acara ini. Bacalah Facebook, Twitter dan media sosial lain, semuanya penuh de­ngan maki hamun terhadap peng­anjur acara ini. Jangan salahkan mereka. Warga kota ada sebab yang berasas untuk ‘naik angin’. Mereka berhak merasa marah. Jalan raya di tengah ibu kota yang tak pernah merasa sesaat pun tanpa kesesakan dijadikan litar lumba. Idea tidak siuman siapakah ini?

Kenapa perlu diadakan di te­ngah-tengah bandar sedangkan Malaysia sudah mempunyai litar lumba kereta terhebat di dunia ia­itu Litar F1 Sepang. Kalau penganjur ‘perasan’ mahu menjadikan perlumbaan ini seperti di Litar Monte Carlo, lupakanlah! Jalan raya di te­ngah-tengah bandar Kuala Lumpur tidak mencapai standard minimum untuk dijadikan litar lumba.
Warga kota terpaksa berhadap­an dengan kesesakan paling azab sepanjang minggu acara ini diadakan. 

Walaupun acara hanya bermula semalam, persiapannya sudah bermula lebih awal dari itu. Kerja-kerja memasang pagar keselamat­an, penghadang jalan, pentas dan macam-macam lagi sudah mengganggu aliran trafik harian. Laluan yang sempit bertambah sempit. Kesesakan berlaku sepanjang masa bukan sahaja di venue perlumbaan malah di mana-mana sahaja.

Tidak ada istilah yang dapat menggambarkan bagaimana seksanya memandu masuk dan keluar dari ibu kota pada waktu ini. Yang terlibat pula lima jalan utama. Jalan-jalan tersebut ditutup kepada semua kenderaan bermula semalam hingga esok dek kerana perlumbaan tidak berfaedah ini. Jalan-jalan raya yang terlibat ialah Jalan Ampang ke KLCC, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak dan Jalan P. Ramlee.

Seperti biasa setiap kali jalan ditutup, maka berlaku kesesakan luar biasa yang menambahkan sakit jiwa warga kota yang mahu ke tempat kerja. Tolonglah jangan nasihatkan mereka menggunakan pengangkutan awam hanya kerana mahu merasionalkan acara tidak berfaedah ini!

Apa yang menghairankan kenapalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh meluluskan perlumbaan ini? Pihak berkuasa tempatan itu sudah tentu maklum apa akan terjadi jika satu acara lumba kereta diadakan di tengah-tengah kota raya itu. Kenapalah diluluskan satu acara yang jelas akan menambahkan kesesakan jalan raya sedangkan litar khas untuk perlumbaan kereta motor sudah tersedia di Sepang!

Penganjur tidak perlulah me­ng­halalkan penganjuran acara ini dengan memberikan fakta-fakta ekonomi sebagai sokongan. Antaranya acara ini akan menjana pendapatan negara menerusi sektor pelancongan, mewujudkan ‘berjuta-juta’ peluang pekerjaan serta memperkenalkan Kuala Lumpur di mata dunia.

Semua orang sudah tahu tetapi penduduk kota tidak ambil peduli semua itu. Mereka cuma mahu rutin kehidupan seharian mereka ke tempat kerja tidak diganggu.

Lagipun apalah taraf perlumbaan kereta yang tak pernah orang dengar pun selama ini jika mahu dibandingkan dengan perlumbaan F1 yang saban tahun dinanti-nantikan peminat dari seluruh dunia!

Tolonglah jangan ulangi lagi perlumbaan tidak berfaedah ini tahun depan. Penduduk Kuala Lumpur sudah terbeban dengan macam-macam tekanan hidup. Kos sara hidup yang tidak turun-turun, kega­watan politik serta situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan.

Lagipun jalan raya di tengah bandar Kuala Lumpur ini bukanlah elok sangat. Sempit, compang-camping, penuh dengan lubang, lompang sana sini, kualiti turapan yang tidak sempurna selain pelbagai kecacatan lain.

Tanyalah mat rempit, mereka pun tidak sanggup berlumba di jalan raya di tengah ibu kota ini ! ... Pendapat anda .. ? Credit : Utusan Online



from PenPanas

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Blog Archive

statistics

Contact

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Copyright © Pen Panas
Design by Nazmi | Published for PenPanas