Saturday, 8 August 2015

Luahan Hati Bapa Melihat Anaknya Nazak Didepan Mata Akibat Kecuaian Pengasuh


KUANTAN 7 Ogos – Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat kecuaian pengasuhnya semalam.

Artikel Berkaitan:
Akibat Kecuaian Pengasuh, Bayi 8 Bulan Muntah Darah Sebelum Meninggal

Mohamad Haziq Izzudin Mohd. Safari disahkan meninggal dunia ketika menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kira-kira pukul 11.50 malam.

Bapa mangsa, Mohd. Safari Ibrahim, 36, berkata, isterinya menerima panggilan daripada pengasuh Mohamad Haziq pada pukul 10.30 pagi kelmarin dan memberitahu anak bongsunya itu tersedak susu.

“Apabila saya bergegas ke rumah pengasuh di Sungai Isap, di sini anak saya berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dan terdapat kesan muntah serta darah pada bajunya selain bengkak di bahagian belakang kepala.

“Saya tanya pengasuh yang saya panggil Kak Zie mengenai kejadian sebenar namun dia berdolak-dalik dan mendakwa kesan lebam tersebut adalah tanda lahir. Saya tidak menunggu lama dan terus menghantar anak saya itu ke sebuah hospital swasta dan dia dimasukkan ke dalam wad kecemasan.

“Setelah menjalani pelbagai ujian, tahap kesihatannya sema­kin merosot dan anak saya dirujuk ke HTAA pada petang semalam,” katanya kepada pemberita di pekarangan Unit Forensik HTAA di sini hari ini.

Mohd. Safari yang bekerja sebagai juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, pasukan perubatan HTAA segera menyiapkan anaknya untuk menjalani pembedahan kecemasan dan doktor memaklumkan peluang agak tipis iaitu 50:50.

“Sewaktu menatap wajahnya sebelum pembedahan dilakukan hati saya terdetik mengatakan anak saya akan ‘pergi’. Perasaan tersebut sukar untuk digambarkan, mungkin orang yang pernah mengalaminya sahaja akan faham.

“Ketika pembedahan berlangsung, saya membuat keputusan melaporkan perkara itu di Balai Polis Kuantan sebelum mendapat berita anak saya telah meninggal dunia,” ujarnya.

Tambah Mohd. Safari, dia segera menyampaikan berita kematian tersebut kepada pengasuh termasuk tindakannya membuat laporan polis.

Ujarnya, pengasuh anaknya itu bagaimanapun datang ke rumah­nya pada pukul 5 pagi ini untuk memohon maaf dan merayu agar tindakan undang-undang tidak diambil terhadapnya.

“Bagi saya kejadian yang me­nimpa ini adalah kes serius dan biar­lah polis yang menyiasat.

“Walaupun sebelum ini Mohamad Haziq pernah mengalami kecederaan kecil di bawah jagaan pengasuh, saya hanya mendiamkan diri demi menjaga hati pengasuh. Saya sama sekali tidak menyangka begini akhirnya,” katanya.

Jenazah Mohamad Ha­ziq dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Rangin di sini selepas solat Asar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (5) Akta Kanak-Kanak.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa adalah akibat hentakan objek keras di kepala,” katanya.


from PenPanas

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Blog Archive

statistics

Contact

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Copyright © Pen Panas
Design by Nazmi | Published for PenPanas